Kakitangan awam perlu responsif kepada keperluan kerajaan, kehendak rakyat

Kakitangan awam perlu responsif kepada keperluan kerajaan, kehendak rakyat

Kota Kinabalu: Warga kerja sesebuah organisasi kerajaan yang menjadi penggerak utama perkhidmatan awam perlu responsif kepada keperluan kerajaan dan kehendak rakyat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata modal insan berkepakaran tinggi dan profesional adalah kunci utama kejayaan sesebuah organisasi sama ada dalam sektor awam atau swasta.

Beliau berkata, perkara yang sama dituntut dalam organisasi Kementerian Kerja Raya Sabah bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan memenuhi kehendak rakyat serta kerajaan.

“Kita sebagai warga kerja Kementerian Kerja Raya haruslah memberikan komitmen yang jitu dalam menjalankan tugas dan menetapkan iltizam yang utuh untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi iaitu perkhidmatan yang selamat, berkesan, berpaksikan pelanggan, saksama, efisien dan menepati waktu atau masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2020 (KKRS) di bilik mesyuarat Kinabalu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik dan Datuk Limus Jury; Setiausha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah, Datuk Jasmin Juplin dan Timbalan Setiausaha Tetap II, Hassan Mahali.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan penjawat awam termasuk pemberian anugerah atau ganjaran.

“Melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini, saya berharap ia akan menjadi motivasi kepada pegawai dan kakitangan untuk terus memberikan komitmen dan mempergiatkan daya usaha bagi mencapai produktiviti dan mutu kerja yang berkualiti tinggi,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar berkata perkhidmatan awam yang sentiasa dekat dengan rakyat perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa bersih dan menjadikan integriti sebagai teras utama.

“Apabila menyentuh mengenai integriti, fokus kita bukan hanya kepada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa semata-mata yang melibatkan wang ringgit malah ia adalah satu konsep yang lebih besar dan lebih meluas, integriti bermaksud kita memberikan yang terbaik,” katanya.

Pada majlis itu, tiga kakitangan Kementerian Kerja Raya dari pelbagai peringkat jawatan terpilih menerima APC 2020 dan seramai enam orang menerima anugreh Setiausaha tetap KKRS 2020.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|