Focal Person bantu tangani keciciran pelajaran di Sabah

Focal Person bantu tangani keciciran pelajaran di Sabah

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pendekatan baharu menangani masalah keciciran pelajaran khususnya dalam kalangan penduduk di luar bandar dan pedalaman di Sabah.

Ia dilaksanakan menerusi pelantikan Focal Person Kebangsaan KPM di setiap daerah di Sabah yang akan membantu Jabatan Pendidikan Negeri mengatasi masalah berkenaan.

Focal Person Kebangsaan KPM Sabah, Mohammad Arif Sakaran, berkata beberapa program pendidikan sedang dibincangkan dan akan dilaksana bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Masalah keciciran dalam pembelajaran melibatkan murid atau pelajar di Sabah ketika ini masih tinggi. Bagaimanapun, masalah berkenaan sudah lama malahan ia bukan hanya dihadapi negeri ini tetapi di seluruh negara.

“Kita masih mencari solusi terbaik untuk menanganinya berikutan banyak faktor yang perlu diambil kira termasuklah faktor Sabah mempunyai kawasan yang luas dengan bentuk geografi berbukit-bukau.

“Oleh itu, kerjasama semua focal person di 24 daerah amat diperlukan untuk membantu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengatasi setiap masalah berkaitan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Bersama Focal Person KPM dan Penyampaian Sijil Focal Person Negeri Sabah, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan pembukaan sekolah membabitkan murid pra-sekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi di negeri ini, Mohammad Arif berkata semua persediaan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) sudah dilaksanakan.

“Keutamaan kita adalah berkaitan keselamatan murid dan semuanya sudah dibuat serta bersedia untuk menerima kemasukan murid dan pelajar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|