Kerjasama UMS, DBKK bangunkan pakej pelancongan pinggir bandar

Kerjasama UMS, DBKK bangunkan pakej pelancongan pinggir bandar

Kota Kinabalu: Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Pembangunan Pelancongan Bandar, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bekerjasama membangunkan pakej pelancongan pinggir bandar di kawasan bandar raya ini.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak baru-baru ini menganjurkan Kursus Pembangunan Pakej Pelancongan dan e-Pemasaran kepada komuniti Kampung Darau, Manggatal untuk membimbing penduduk kampung memajukan potensi pelancongan di kampung berkenaan.

Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan Bandaraya, DBKK Fauziahton Ag Samad ketika merasmikan kursus berkenaan, berkata ia adalah sebahagian daripada inisiatif DBKK ke arah pembangunan kapasiti komuniti untuk memulakan aktiviti pelancongan.

“Kampung Darau didapati menjadi tumpuan orang ramai sebagai sebuah destinasi pelancongan berasaskan komuniti ketika pihak DBKK membuat Audit Potensi Produk Pelancongan secara rasmi pada tahun lalu.

“Oleh yang demikian, sebanyak enam lagi kursus akan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang melalui kerjasama di antara DBKK dan UMS bagi menyokong pembangunan pelancongan berasaskan komuniti di sini,” katanya.

Pada kursus berkenaan, seramai dua pensyarah UMS dijemput berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada 32 peserta terdiri daripada penduduk kampung yang hadir.

Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP UMS, Prof Madya Dr Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul memberi tunjuk ajar kepada peserta mengenai kaedah mengembangkan pakej pelancongan dan membuat e-pemasaran berdasarkan pelan pembangunan program pelancongan mereka.

Beliau memberi bimbingan dengan mengenal pasti dan membincangkan potensi tarikan pelancongan, aktiviti, akses, penginapan dan kemudahan yang ada di kampung berkenaan.

Awangku Hassanal berkata, FPEP UMS sebelum ini juga bekerjasama dengan DBKK membangunkan pelancongan berasaskan komuniti bagi kawasan pinggir bandar raya Kota Kinabalu di Kampung Kobuni, Inanam.

“Justeru, saya berharap agar kursus kali ini juga dapat membantu komuniti Kampung Darau menjadi lebih yakin dalam menjalankan aktiviti pelancongan di kampung mereka.

“Kampung ini mempunyai potensi yang besar untuk menjadi satu destinasi pelancongan berasaskan komuniti kerana mempunyai sungai yang menarik, bakau dan hidupan liar seperti memerang dan beberapa jenis burung.

“Budaya masyarakat tempatan juga amat menarik terutamanya pasar dagangan barter dan gastronomi,” katanya.

Seorang lagi penceramah jemputan, Dr Kelvin Yong, memberi taklimat mengenai medium e-pemasaran secara berkesan yang bersesuaian dengan pelancongan berasaskan komuniti.

Beliau turut memberi tunjuk ajar mengenai teknik penggunaan media sosial bagi mengiklankan produk pelancongan pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Darau, Anan Usoh, berkata pelbagai input dan idea diperoleh peserta termasuk mengenal pasti produk pelancongan dan kraf tangan sedia ada yang memerlukan lebih banyak inovasi dan promosi.

“Selain itu, komuniti kampung juga memperoleh pengetahuan baharu mengenai kaedah berkesan untuk e-pemasaran memandangkan dunia hari ini hanya berada di hujung jari sahaja.

“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok adalah sangat berguna untuk mempromosikan Kampung Darau sebagai sebuah destinasi pelancongan akan datang.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak yang terlibat melaksanakan kursus keapda penduduk Kampung Darau iaitu pihak DBKK dan UMS.

“Tidak lupa juga setinggi penghargaan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan semua peserta yang hadir,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|