Jaga SOP di stadium

Jaga SOP di stadium

Kota Kinabalu: Penyokong pasukan Sabah FC diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pintu dan Tiket, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah berkata, keselamatan semua pihak sentiasa diutamakan selepas kerajaan membenarkan kemasukan penonton ke stadium bagi menyaksikan aksi Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pintu dan Tiket, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah.

Katanya, semua pihak juga tidak seharusnya lalai dan pemantauan lebih ketat akan dilakukan bagi mengelakkan wujud kluster membabitkan penyokong.

“Masa kehadiran penyokong ditetapkan bermula jam 6 petang sehingga 8.30 malam. Selepas itu, pintu pagar tidak akan dibuka untuk membenarkan penyokong masuk.

“Selain itu, penonton juga wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Shamsuddin berkata, penyokong yang lengkap dua dos vaksinasi dan melebihi 14 hari dibenarkan masuk ke stadium namun bagi penyokong berusia 18 tahun ke bawah pula tidak dibenarkan hadir.

Katanya, selepas tamat perlawanan, semua penyokong diminta segera meninggalkan stadium secara beransur-ansur dan tidak bergerak dalam kumpulan ramai.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, kehadiran lebih 6,000 penyokong di Stadium Likas sudah pasti akan menambahkan lagi semangat Sabah FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun katanya, peluang kebenaran hadir ke stadium perlu dimanfaatkan dengan tidak melanggar arahan serta peraturan yang digariskan.

“Ia termasuk aspek menjaga penjarakan fizikal, duduk di tempat yang disediakan, larangan berkumpul beramai-ramai dan beberapa lagi arahan lain.

“Kita berharap semua penyokong Sabah FC kekal berdisiplin serta mematuhi SOP yang ditetapkan,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|