Kota Kinabalu: Polis Kota Kinabalu melancarkan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah (OBCJ) dalam usaha membanteras kegiatan jenayah termasuk membabitkan kes narkotik serta jenayah samun, hari ini.
Operasi bersepadu cegah jenayah yang dijalankan bermula jam 1 hingga 4 pagi itu berjaya membuat pemeriksaan terhadap 77 individu dan 63 kenderaan.
Pasukan operasi Polis Kota Kinabalu melakukan pemeriksaan terhadap pemandu kenderaan di lokasi hotspot. Gambar ihsan IPD Kota Kinabalu
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi membabitkan 67 anggota dan pegawai itu dijalankan bagi mencegah jenayah di kawasan ‘hotspot’ yang dikenalpasti.
Katanya, kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan berlakunya jenayah mampu mengekang pergerakan penjenayah dan aktiviti pengedaran ataupun penagihan dadah di lokasi ‘hotspot’.
Polis menjalankan pemeriksaan secara rawak terhadap orang awam ditemui di kawasan operasi. Gambar ihsan IPD Kota Kinabalu
“Antara lokasi tumpuan adalah Kepayan Ridge, Tanjung Aru, Kampung Likas, Kingfisher, Inanam, Pekan Telipok, Manggatal, Rumah kedai Taman Cantik, Luyang dan Taman Kuala Menggatal.
“Selain mencegah kes jenayah di kawasan ‘hotspot’ di daerah ini, usaha ini juga menunjukkan komitmen dan kesungguhan PDRM dalam menangani isu pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, usaha ini juga mampu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM yang sentiasa berusaha memastikan keselamatan dan keamanan.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, hasil operasi yang dijalankan, satu saman dikeluarkan atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan tiada perlindungam insurans.
Pegawai dan anggota polis bersiap sedia menjalankan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah sekitar Kota Kinabalu. Gambar ihsan IPD Kota Kinabalu
Selain itu katanya, seorang lelaki turut ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Operasi OBCJ ini akan berjalan selama dua minggu namun ia bergantung kepada trend jenayah,” katanya.
-Deasoka