CIDB lancar operasi pemantauan Covid-19 di pusat pembinaan

CIDB lancar operasi pemantauan Covid-19 di pusat pembinaan

Tuaran: Lembaga Pembinaan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah melancarkan operasi pemantauan pusat pembinaan dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Ag Hassan berkata, objektif utama operasi penguatkuasaan bersepadu ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada pemain industri binaan.

Katanya, ia berhubung pematuhan khususnya norma baharu dalam menangani penularan wabak Covid-19 ditapak bina berpandukan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan dan mengukuhkan jalinan kerjasama antara agensi-agensi lain terbabit dalam penguatkuasa tapak bina serta mempelajari penguatkuasaan akta dan peraturan jabatan atau agensi lain.

“Setakat 26 Oktober tahun ini, sebanyak 546 tapak projek diperiksa dan mendapati 63 peratus tapak sedang beroperasi dan dijangka 99 peratus tapak projek akan beroperasi pada akhir bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjalankan operasi di pusat pembinaan sekitar daerah Tuaran, semalam.

Rosmen berkata, menerusi peralihan ke Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 3, ia membenarkan tapak pembinaan beroperasi tanpa memerlukan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Katanya, hasil pemeriksaan bahagian penguatkuasa CIDB, 99.2 peratus tapak pembinaan dan kontraktor mematuhi SOP ditapak bina semasa tempoh Perintah Kawalan Pengerakan 3.0 (PKP 3.0) sehingga kini.

“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa tapak pembinaan ditutup dan amaran secara lisan dikeluarkan kepada kontraktor yang gagal mematuhi Akta 342 KKM dan sebahagian SOP MKN.
 
“Fokus penguatkuasaan kali ini menumpukan Akta 342 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Akta 520 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) dan SOP ditetapkan MKN,” katanya.

Sementara itu, Rosmen berkata, hasil pemeriksaan tapak binaan semalam, pihak CIDB memeriksa satu kontraktor utama bersama 10 sub kontraktor.

Katanya, ia adalah pemeriksaan terhadap seramai 93 pekerja membabitkan 58 warga asing dan 35 pekerja tempatan.

“Selain itu, pihak CIDB turut memeriksa berkenaan pendaftaran kontraktor serta pengisytiharan projek dan mendapati kontraktor patuh mengikuti peraturan mengikut Akta 520 LPIPM.

“Satu Notis Minta Maklumat dikeluarkan kepada kontraktor utama dan tiga lagi Notis Arahan Hadir diberikan kepada Sub Kontraktor serta notis amaran berhubung kebersihan tapak bina dan air bertakung.

“Operasi turut mengeluarkan lima notis amaran dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berhubung senarai rekod harian dan ujian Covid-19 pekerja serta kegagalan dua pekerja mendaftar masuk mysejahtera selain terdapat kawasan yang berpotensi untuk pembiakan jentik-jentik,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|