Cubaan seludup petrol bernilai RM52,166 gagal

Cubaan seludup petrol bernilai RM52,166 gagal

Semporna: Cubaan penyeludupan minyak petrol gagal selepas aktiviti berkenaan berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam rondaan di kawasan Laut, Kampung Batu, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 6 petang itu, pasukan operasi menemui sebuah bot laju tanpa juragan yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan sebelum mendapati beberapa gelen jerikin dengan muatan 30 liter petrol.

Katanya, usaha mengesan juragan bot berkenaan bagaimanapun tidak berjaya selepas tiada sesiapa yang datang menuntut bot laju bersama muatan berkenaan.

“Minyak petrol yang ditinggalkan di dalam sebuah bot laju itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Filipina.

“Semua minyak petrol yang ditinggalkan itu dianggarkan bernilai RM52,166 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua minyak petrol bersama bot laju berkenaan kemudiannya dibawa balik ke Markas Operasi PPM Marin Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sehubungan itu, Mohammad berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihaknya.

“Setiap maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di talian 0132831197,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|