Tidak puas hati giliran menunggu dipotong

Tidak puas hati giliran menunggu dipotong

Kota Kinabalu: Pemandu teksi Airport Limo yang bertindak merempuh tiga kenderaan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam, berpunca daripada ketidakpuasan hati akibat kerap dipotong barisan.

Bagaimanapun, ia disebabkan sikap suspek yang beberapa kali meninggalkan kereta di barisan menunggu untuk keluar dari luar kawasan KKIA.

Disebabkan kereta ditinggalkan, rakan pemandu teksk lain terpaksa memotong barisan bagi mengambil penumpang yang berbaris menunggu giliran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati punca suspek berusia 60 tahun mengamuk adalah kerana gagal menahan perasaan marah.

Malah katanya, dia yang menghidap penyakit darah tinggi turut pengsan selepas bertindak melanggar tiga kenderaan lain.

“Ia difahamkan bukan berlaku kali pertama, suspek berang selepas mendapati giliran mengambil penumpang dipotong rakan pemandu lain.

“Namun, ia disebabkan sikapnya sendiri yang meninggalkan kereta di barisan menunggu. Pemandu lain terpaksa memotong bagi mengelakkan penumpang tertunggu-tunggu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, suspek kini masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth kerana penyakit darah tinggi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang semalam, seorang pemandu teksi hilang pertimbangan sehingga merempuh tiga kenderaan Airport Limo.

Kejadian terbabit yang tular di media sosial turut menimbulkan pelbagai persoalan sehingga ramai netizen yang tertanya-tanya punca sebenar kejadian.

Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan dalam insiden berkenaan.

https://deasoka.com/semasa/pemandu-airport-limo-mengamuk-rempuh-3-kenderaan/

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|