Keningau: Seorang pemandu lori maut akibat dihempap kayu balak yang dibawanya dalam kemalangan di Jalan Tambunan – Keningau berhampiran Kampung Tikolod, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang memandu lori Nissan 10 tan dikatakan bergerak dari Tambunan menuju ke Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketika tiba di selekoh menuruni bukit, pemandu terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan hingga lori yang muatan kayu itu terbabas sebelum terbalik ke sebelah kiri jalan.
Katanya, akibat kemalangan itu mangsa tercampak keluar dari tempat pemandu lalu dihempap oleh muatan kayu dibawa mangsa.
“Ketika kejadian mangsa masih sedar lalu dibawa ke Hospital Tambunan untuk rawatan lanjut.
“Pada 8.45 malam, pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
– Deasoka