Lahad Datu: Warga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), hari ini, meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha dalam suasana yang sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM, Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, ibadah korban yang dilaksanakan secara gotong royong ini, memberi peluang kepada warga ESSCOM membantu golongan-golongan yang memerlukan.
Katanya, ia dapat membantu ramai masyarakat terutamanya golongan asnaf yang tidak mampu melakukan ibadat korban.
“Saya melihat ibadah korban yang menjadi tuntutan agama yang dilaksanakan anggota ESSCOM ini dapat dilaksanakan dalam suasana kekeluargaan.
“Disamping itu, ia berupaya merapatkan hubungan silaturahim sesama anggota ESSCOM yang terdiri daripada pelbagai agensi iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM),” katanya, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Staf Pusat Operasi ESSCOM, Brigadier Jeneral Azhar Tahir, Pengarah Khidmat Keurusetiaan ESSCOM Ellda Baharudin, Asisten Ketua Staf, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.
Jamaluddin berkata, program itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi ruang perkongsian rezeki melalui agihan daging korban yang diedarkan kepada tiga pihak iaitu penyumbang, petugas dan golongan asnaf.
Dalam program bermula seawal jam 8 pagi tadi di perkarangan surau Markas Operasi PPM, sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan hasil sumbangan dan derma daripada warga ESSCOM.
Turut hadir memberikan sokongan dalam program berkenaan termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk setempat.
– Deasoka