Agihan vaksin untuk Sabah tidak adil

Agihan vaksin untuk Sabah tidak adil

Kota Kinabalu: Pengagihan vaksin Covid-19 untuk Sabah tidak adil dan perlu diseimbangkan berdasarkan jumlah populasi penduduk di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin (gambar) berkata, cara pengagihan dan keputusan yang dilakukan kerajaan pusat itu amat mengecewakan.

Katanya, mengikut rekod, seramai 2,758,400 penduduk yang layak untuk menerima vaksin namun kenyataannya masih ramai lagi masih menunggu janji temu vaksin.

“Ini sekali gus memperlihatkan sistem pengurusan yang lemah dalam pengagihan vaksin Covid-19.

“Kerajaan pusat perlu mempercepatkan pemberian bekalan vaksin untuk rakyat di negeri ini ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jafry berkata, kerajaan pusat perlu mengambil pendekatan yang lebih telus berhubung pengagihan bekalan vaksin di seluruh negara.

Katanya, proses vaksinasi yang sempurna akan mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi di negeri ini.

“Kebergantungan ekonomi Sabah terhadap sektor pelancongan adalah tinggi. Namun untuk membuka semula sektor pelancongan, kita perlu mencapai sekurang kurangnya 60 peratus rakyat di Sabah berjaya divaksin.

“Sekiranya imuniti berkelompok mampu dicapai menjelang Oktober depan, pastinya pelancongan domestik boleh membangun semula dengan pantas diikuti pembukaan sempadan negara sekali gus menerima kedatangan pelancong antarabangsa,” katanya yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah itu.

Mengikut rekod, sehingga 17 Julai lalu, pencapaian pemberian dos vaksin bagi Sabah hanya 13.0 peratus yang membabitkan 358,592 orang.

– Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|