Norma baharu, hayati konteks semangat korban: Hajiji

Norma baharu, hayati konteks semangat korban: Hajiji

Tuaran: Umat Islam di negeri ini diminta mengamati konteks semangat pengorbanan dalam Aidiladha dengan mengadaptasikan kehidupan norma baharu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam menyambut kemeriahan suasana Hari Raya Korban atau Aidiladha yang disambut secara kecil-kecilan tahun ini, ketetapan prosedur operasi standart (SOP) perlulah sentiasa dipatuhi.

Jelasnya langkah itu penting dengan penerapan semangat Aidiladha dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 berjaya dilandaikan dari semasa ke semasa.

Hajiji (baju merah) menyaksikan acara korban yang dijalankan di IPD Tuaran, pagi tadi.(Gambar ihsan unit media JKM Sabah)

“Kita amat gembira kerana dapat meraikan walaupun dalam keadaan suasana normal baru, di mana kehadiran mereka yang hadir bersembahyang Aidiladha dan begitu juga penyembelihan korban pun mengikut SOP yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan.

“Mudah-mudahan sambutan Aidiladha ini walaupun dalam keadaan kecil-kecilan tetapi semangat korban sepertimana yang dituntut oleh agama Islam pada hari raya ini dapat dihayati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ibadah Qurban Peringkat Ibu Pejabat Polis (IPD)Tuaran di Dewan Jomo, IPD Tuaran, hari ini.

Hajiji ditemani oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim (ADUN Tamparuli) dan Pembantu Menteri Kewangan Negeri, Jasnih Daya (ADUN Dalit) dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai (ADUN Kiulu) secara simbolik menyerahkan lembu korban kepada Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintenden Mohd Hamizi Halim.

Sementara itu, Ketua Menteri turut menyeru orang ramai supaya terus mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin bagi meningkatkan sasaran bebas Covid-19 di negeri ini.

“Bagi saya, mana mana mereka yang tidak mendaftar dengan MySejahtera itu boleh datang ke pusat pusat pemberian vaksin supaya mereka boleh menerima vaksin.

“Di Sabah mulai hujung bulan ini hingga bulan depan saya difahamkan lebih banyak vaksin ini akan dihantar ke Sabah dan kita dimaklumkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri bahawa kita boleh memberi vaksin kepada kira kira 30,000 orang setiap hari.

“Jadi saya juga telah memaklumkan mereka supaya mengadakan program program di kampung kampung terutama sekali di luar bandar dan juga pedalaman sabah supaya rakyat kita di sana mempunyai kemudahan menerima vaksin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|