Tiada sebarang penemuan mangsa atau kereta membabitkan insiden Perodua Myvi

Tiada sebarang penemuan mangsa atau kereta membabitkan insiden Perodua Myvi

Kota Kinabalu: Tiada sebarang laporan penemuan mangsa atau kereta membabitkan insiden Perodua Myvi yang hanyut di Sungai Kionsom, Jalan Kionsom Lama, Inanam, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, setakat jam 9 malam tadi, pihak bomba masih belum menemui kereta atau mangsa.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan namun pasukan bomba berdepan kesukaran berikutan keadaan arus sungai yang masih deras.

“Pihak bomba juga sudah menghubungi anak mangsa yang mengesahkan mangsa atau kenderaan berkenaan belum ditemui.

“Pasukan operasi bomba yang menjalankan operasi di sungai berkenaan juga melaporkan tiada sebarang penemuan berjaya dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang tadi, sebuah Perodua Myvi dilaporkan hanyut ketika cuba melalui jambatan Konkrit di Jalan Kionsom Lama, di sini.

Dalam kejadian itu, kenderaan berkenaan yang didakwa dinaiki oleh dua individu itu cuba melepasi jambatan berkenaan namun gagal selepas terjatuh ke dalam sungai disebabkan arus sungai yang deras.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|