Pertandingan pidato peringkat kebangsaan

Pertandingan pidato peringkat kebangsaan

Putrajaya: Jabatan Penerangan Malaysia menganjurkan Pertandingan Akhir Pidato Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2021 secara maya bertemakan “Kita Malaysia Bangkit Bersama”, semalam.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi facebook dan Youtube Jabatan Penerangan Malaysia.

Selain itu, ia juga disiarkan di Merdeka360 iaitu media sosial rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Pada program, ucapan perasmian disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Mohammad Mentek.

Turut hadir bersama Ketua Pengarah Penerangan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Pidato Kenegaraan 2021 Datuk Mohd Sukari Ab. Hamid.

Dalam pada itu, pertandingan yang disiarkan secara langsung berkenaan menyaksikan seramai enam peserta pemidato yang mewakili negeri masing-masing.

Semua pemidato berentap menunjukkan kehebatan penyampaian mesej dan hujah-hujah yang mantap bagi merebut gelaran Johan bagi tahun ini .

Kelazimannya, pertandingan yang dianjurkan sejak tahun 2000 ini dilaksanakan secara bersemuka.

Namun, dalam keadaan pandemik COVID-19, ia disesuaikan dengan norma baharu mulai tahun 2020 dengan pelaksanaan secara maya dalam talian.

Pertandingan pada tahun ini adalah berkonsepkan TED Talk (Technology, Entertainment and Design) yang juga cara penyampaian maklumat menggunakan elemen teknologi, hiburan dan rekaan.

Namun bagi pertandingan ini, ia menyampaikan mesej kepada penonton secara santai dengan membawa mesej kenegaraan serta memasarkan dasar-dasar Kerajaan semasa.

Ia juga selari dengan aspirasi ‘JaPen Kini Digital’ yang bermatlamatkan untuk memperkasakan penggunaan teknologi dalam penyebaran dan penyampaian maklumat secara strategik serta pembudayaan norma baharu dalam setiap aktiviti dan pendekatan yang melibatkan masyarakat keseluruhannya.

Kaedah perjurian juga disesuaikan dengan fenomena semasa pertandingan iaitu 80 peratus perjurian yang terdiri daripada Juri Profesional manakala 20 peratus lagi adalah terdiri daripada undian penonton.

Acara kemuncak pertandingan ini menyaksikan johan dinobatkan kepada Muhd Nazmie Muhd Nasir mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 serta sebuah piala pusingan, plak dan sijil.

Naib johan pula disandang Mohd Amiruddin Md Nor dari Melaka yang menerima wang tunai RM2,000 serta plak dan sijil.

Manakala tempat ketiga dimenangi Ainun Nasibah Johar dari Sabah yang membawa pulang RM1,000 serta plak dan sijil.

Jabatan Penerangan Malaysia berharap pertandingan yang dilaksanakan di bawah teras kenegaraan ini sentiasa mendapat tempat di hati semua penggiat seni pemidato.

Penyampaian mesej mengenai dasar-dasar kerajaan yang disampaikan oleh setiap peserta secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi semangat patriotik serta memperkukuhkan semangat cintakan negara kepada seluruh masyarakat Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|