Semporna: Seorang juragan bertindak terjun ke laut meninggalkan bot yang sarat dengan muatan petrol bagi mengelak ditahan Pasukan Polis Marin (PPM).
Bot laju itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota PPM Semporna ketika membuat rondaan di kawasan laut Pulau Boheian, pagi semalam.
Pegawai Pemerintaj Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, anggota PPM kemudian mengekori bot berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun katanya, sebaik pemeriksaan hendak dilakukan, suspek bertindak terjun ke dalam laut dan berenang ke kawasan air cetek di sebelum menghilangkan diri di pesisir Pulau Boheian.
“Hasil pemeriksaan di dalam ruangan bot menemui beberapa tong berisi petrol dipercayai cubaan diseludup ke Filipina.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM36,677.50,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohamad berkata, rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu katanya, PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.
Katanya, orang ramai boleh secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.
-Deasoka