Lelaki ditemui mati di tepi jalan

Lelaki ditemui mati di tepi jalan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki dipercayai berusia 50-an ditemui tidak sedarkan diri berhampiran Pusat Servis Proton Inanam, di sini, malam tadi.

Mangsa yang ditemui tanpa sebarang identiti itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas berikutan banjir di kawasan berkenaan.

Difahamkan, mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 8 malam sebelum pasukan bomba yang kebetulan melalui jalan berkenaan terus berhenti untuk membantu melakukan pemeriksaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pemeriksaan pasukan bomba mendapati mangsa sudah tidak mempunyai nadi.

Katanya, sebuah lagi ambulans yang turut melalui jalan berkenaan kemudiannya berhenti dan membantu memeriksa mangsa sebelum mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, maklumat identiti mangsa belum dapat diperolehi kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|