154 mangsa banjir di 3 daerah dipindahkan setakat malam ini

154 mangsa banjir di 3 daerah dipindahkan setakat malam ini

Kota Kinabalu: Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah meningkat kepada 154 orang setakat jam 8 malam ini.

Daripada jumlah itu, seramai 139 mangsa banjir adalah di daerah Beaufort, dan daerah kecil Membakut.

Mereka masing-masing dipindahkan ke PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir, PPS Komuniti Suasa dan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) Selagon.

Selebihnya, iaitu 15 orang lagi adalah mangsa banjir di daerah Sipitang yang ditempatkan di PPS Dewan Mini Mesapol sejak pagi tadi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun, berkata mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Beaufort membabitkan penduduk dari Kampung Suasa, Beaufort, selain dari Kampung Brunei, Kampung Sungai Damit dan Skim Kampung Brunei, Membakut.

“Seramai 78 orang yang merangkumi 26 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir, manakala 58 orang membabitkan 15 keluarga dipindahkan ke PPS Komuniti Suasa dan tiga mangsa lagi dari satu keluarga ditempatkan di PKRC Selagon.

“Pemantauan masih dilakukan dan kita sentiasa bersiap sedia memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebanyak 45 kampung di Beaufort dan 15 kampung di daerah kecil Membakut masih dilanda banjir, manakala beberapa jalan raya juga masih terputus akibat dinaiki air.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|