Pasukan teknikal SESB siap sedia tangani gangguan akibat banjir

Pasukan teknikal SESB siap sedia tangani gangguan akibat banjir

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menggerakkan pasukan teknikal untuk bersiap sedia 24 jam sehari bagi membaiki sebarang kerosakan berikutan banjir di beberapa daerah sekitar pantai barat sejak semalam.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor, berkata SESB turut bersiap sedia menghantar janakuasa bergerak ke mana-mana lokasi yang terputus bekalan elektrik.

Katanya, pemantauan rapi dibuat di semua lokasi dilanda banjir, khususnya di sekitar Kota Kinabalu, Kota Belud, Papar, Beaufort, Membakut, Bongawan dan Sipitang.

“Setakat jam 7 malam semalam, SESB terpaksa membuat penutupan bekalan di pencawang Kampung Talantang, Bongawan kerana tiang elektrik tumbang akibat tanah runtuh dan Pencawang Skim Sindumin di Sipitang kerana dinaiki air.

“Bekalan elektrik berjaya dipulihkan di Pencawang Kampung Talantang, Bongawan pada petang tadi setelah pembaikan ke atas tiang elektrik yang tumbang dilaksanakan, manakala bekalan elektrik di Pencawang Skim Sindumin Sipitang dipulihkan selepas banjir surut,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.

Beliau berkata, atas dasar keselamatan, bekalan elektrik di pencawang yang ditenggelami air terpaksa dimatikan dan kerja-kerja pembaikan akan dibuat sejurus paras air surut dan keadaan selamat.

“SESB juga akan membuka bilik gerakan untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik,” katanya.

Katanya, pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi SESB di talian 15454, 088-515000, Whatsapp 019- 852 5427 atau Facebook SESB Careline.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dan tidak menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|