Dua penjawat awam didenda RM12,000, RM4,000 kerana buat tuntutan palsu

Dua penjawat awam didenda RM12,000, RM4,000 kerana buat tuntutan palsu

Kota Kinabalu: Dua penjawat awam daripada sebuah agensi kerajaan dikenakan denda sebanyak RM12,000 dan RM4,000 atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan di Mahkamah Sesyen Rasuah, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pertuduhan berasingan, Suaif Ag Daud dan Mohd Aizat Rosland, 33, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Menurut pertuduhan, Suaif yang menjawat jawatan sebagai Penolong Pegawai Antidadah berhadapan dengan lapan pertuduhan alternatif antara Mac hingga Jun 2017 dengan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan bernilai RM3,621.

Manakala, Mohd Aizat yang menjawat jawatan sebagai Pembantu Antidadah pula didakwa atas dua pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu berjumlah RM740 untuk membuat tuntutan antara Mac hingga Jun 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM12,000 kepada Suaif selepas mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan manakala denda sebanyak RM4,000 kepada Mohd Aizad selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam dari Adnan Puteh & Saleh Co.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|