Kota Kinabalu: Sebuah kereta Perodua Myvi hanyut selepas ditolak arus deras banjir dalam kejadian di Jalan Kionsom Lama, Inanam, petang tadi.
Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, nasib dua individu yang berada di dalam kenderaan berkenaan dikatakan sempat menyelamatkan diri.
Setakat ini, masih belum ada sebarang pengesahan dari pihak berkuasa namun beberapa penduduk sekitar mendakwa mangsa yang dikenali sebagai Joseph itu selamat dalam kejadian itu.
Detik cemas itu sempat dirakam oleh pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sebelum ditularkan di media sosial.
Salah seorang saksi kejadian, Lester Bingkasan berkata, sebelum kejadian dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Bagaimanapun katanya, mereka terpaksa berhenti di tepi jalan sementera menunggu hujan reda berikutan keadaan Sungai Kionsom deras ekoran hujan lebat sejak jam 3 petang tadi.
“Selepas menunggu hampir tiga jam, keadaan hujan semakin reda namun arus sungai masih deras.
“Dalam masa sama, tiga kenderaan pacuan empat roda berjaya melepasi jambatan konkrit berkenaan. Ia mungkin memberi keyakinan kepada pemandu Myvi untuk cuba melepasi jambatan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, itu pengalaman pertamanya melihat kejadian cemas sebuah kereta dihanyutkan arus deras.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang.
Katanya, pasukan bomba yang menggunakan Lori Hicom BHX 619 kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa.
“Setakat ini, pasukan bomba masih belum menerima sebarang laporan sama ada mangsa dan kenderaan sudah ataupun belum ditemui
“Terdapat laporan di media sosial yang mendakwa mangsa sudah ditemui, namun usaha sedang giat dijalankan bagi mencari dan menyelamat individu terbabit,” katanya.
Agustavia berkata, pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada media dari semasa ke semasa.
-Deasoka