Setinggan di tanah Jabatan Perikanan di Sepanggar akan diroboh

Setinggan di tanah Jabatan Perikanan di Sepanggar akan diroboh

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas merobohkan rumah setinggan atau struktur haram yang dibina di tanah milik Jabatan Perikanan Sabah berkeluasan kira-kira 150 ekar di Sepanggar.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata kawasan terbabit adalah sebahagian daripada tanah seluas 260 ekar milik jabatan berkenaan yang akan dibangunkan dengan projek bandar raya pintar (smart city).

Katanya, pelaksanaan projek berskala besar itu sudah dibincang dan diluluskan Kabinet negeri sebagai antara program pembangunan besar di bandar raya Kota Kinabalu.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serius dalam membangunkan tanah ini dan memastikan ia tidak dicerobohi oleh pihak luar, terutama mereka yang tidak berhak berada di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri membuat kenyataan itu selepas meninjau tapak tanah milik Jabatan Perikatan itu yang dijadikan kawasan setinggan dikenali sebagai Kampung Warisan di Sepanggar.

Dianggarkan ada kira-kira 800 struktur haram atau rumah setinggan dibina di atas tanah seluas 150 ekar itu, dengan sebahagiannya dibina jauh di dalam hutan bakau sehingga menyukarkan pihak berkuasa menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang.

Kawasan berkenaan turut dikenal pasti sebagai lokasi banyak kegiatan mencuri elektrik melalui penyambungan secara haram dengan menyembunyikan kabel di bawah tanah sehingga mendatangkan risiko renjatan elektrik terhadap anggota penguatkuasa.

Selain dipanggil Kampung Warisan, kawasan berkenaan juga turut dikenali sebagai Kampung Berunai atau Kampung Juara dalam kalangan penghuninya.

Jeffrey berkata, penduduk kawasan berkenaan sebelum ini sudah beberapa kali berusaha agar kerajaan mengiktiraf kawasan berkenaan sebagai perkampungan, namun katanya perkara itu adalah mustahil kerana tanah itu milik Jabatan Perikanan.

“Beberapa perobohan pernah dilakukan sebelum ini tetapi mereka masih berdegil. Kerajaan merobohkan struktur haram tetapi tidak lama selepas itu mereka membina lagi struktur baharu dalam masa beberapa bulan sahaja,” katanya.

Ketika tinjauan itu, Jeffrey juga bertemu dengan beberapa penduduk setinggan di kawasan berkenaan dan menasihati mereka supaya tidak membiarkan orang lain membina rumah kerana struktur berkenaan akan tetap dirobohkan selain memaklumkan mereka mengenai rancangan kerajaan membangunkan tanah terbabit.

“Kita mesti melindungi aset kita tetapi kita juga harus mempertimbangkan nasib orang Sabah yang tinggal di sana. Saya difahamkan bahawa dalam kalangan penduduk di sana ada juga yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan,” katanya.

Jeffrey turut menasihatkan Jabatan Perikanan supaya mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai rancangan mereka untuk tanah berkenaan setelah masalah setinggan dapat diselesaikan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|