Penduduk Kg Brunei minta bantuan bomba keluar rumah akibat banjir

Penduduk Kg Brunei minta bantuan bomba keluar rumah akibat banjir

Beaufort: Tiga keluarga di Kampung Brunei, Membakut, di sini, terpaksa meminta bantuan bomba untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka dilimpahi banjir sehingga paras paha, pagi tadi.

Keluarga terbabit yang merangkumi 11 orang termasuk dua bayi terpaksa berbuat demikian kerana bimbang banjir yang melanda sejak semalam semakin buruk, selain risau keselamatan anak-anak dan keadaan kesihatan mereka.

Seorang daripada ahli keluarga terbabit, Norardiahni Mohd Daud, 27, berkata dia risau dengan keadaan air yang semakin meningkat menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Semalam air cuma di permukaan lantai tetapi hari ini sudah mulai naik sehingga ke paras paha dan saya risau jika air semakin meningkat menyebabkan kami terkandas serta tidak dapat diselamatkan pasukan penyelamat.

“Saya juga bimbang jika ada haiwan berbisa masuk ke dalam rumah dan ini sudah tentu membahayakan kami terutama kanak-kanak dan bayi saya yang baru berusia dua bulan,” katanya ditemui ketika menunggu untuk dipindahkan ke PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir, Beaufort, hari ini.

Sementara itu, ibunya, Rubiah Jamudin, 54, berkata keadaan rumah mereka yang sudah digenangi air termasuk tandas menyukarkan mereka sekeluarga untuk membersihkan diri.

“Dalam keadaan air semakin dalam, saya fikir lebih baik bawa anak serta semua cucu keluar untuk mendapatkan bantuan.

“Tandas di dalam rumah juga sudah dimasuki air dan sudah tentu tidak bersih serta boleh menyebabkan kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit,” katanya.

Rubiah berkata, mereka kemudian meminta bantuan pasukan bomba untuk membawa keluar dari kampung dan berpindah ke PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir sehingga keadaan banjir surut.

Sebelum itu, Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun bersama Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Beaufort, Hasbullah Nenggok turut meninjau keadaan penduduk yang terjejas di Kampung Brunei.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|