Misteri gagal dihubungi terungkai, lelaki ditemui mati terduduk

Misteri gagal dihubungi terungkai, lelaki ditemui mati terduduk

Putatan: Misteri kehilangan seorang lelaki yang gagal dihubungi sejak dua hari lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemui mati di rumahnya di Taman Bersatu, Putatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat perkhidmatan kurier ditemui tersembam di dapur rumahnya.

Anggota polis dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE 1, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

Mangsa berusia 44 tahun itu dikatakan ditemui dalam keadaan mayat yang sudah mulai kembung dipercayai akibat mati melebihi tempoh beberapa hari.

Menurut salah seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka cuba menghubunginya sejak beberapa hari lalu namun tidak pernah dijawab.

Katanya, mereka kemudiannya meminta rakan lain untuk mencari mangsa di rumahnya sebelum mendapati keadaan rumahnya yang berkunci seperti biasa.

“Rakan-rakan memberitahu, mereka percaya mangsa mungkin berada di dalam rumah memandangkan kereta miliknya juga berada di luar rumah.

“Selepas beberapa ketika, rakan-rakan terus menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, mangsa sebelum ini tinggal bersama kakak dan abang iparnya namun mereka sudah berpindah ke daerah Sipitang.

Katanya, mereka percaya mangsa berkemungkinan mahu memasak maggi di dapur namun tidak sempat berbuat demikian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa sudah di hantar ke Jabatan Forensik HQE 1, Kota Kinabalu, untuk dapatkan pemeriksaan lanjut Covid-19 sebelum menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|