PPS Komuniti mudahkan pemindahan mangsa banjir di Beaufort

PPS Komuniti mudahkan pemindahan mangsa banjir di Beaufort

Beaufort: Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) komuniti diwujudkan di Kampung Bangkalalak dan Kampung Suasa, di sini bagi menempatkan penduduk sekitarnya yang terjejas akibat banjir.

Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Imam Basirun, berkata keadaan cuaca di daerah ini yang tidak menentu selain faktor pasang surut air laut dijangka menyebabkan banjir berterusan.

“Setakat ini, mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir dan Dewan Desa Lestari Suasa, manakala satu lagi PPS komuniti dicadang dibuka di Dewan Bangkalalak bagi memudahkan pemindahan penduduk.

“Pembukaan PPS komuniti memudahkan kita mengurus pemindahan mangsa banjir berbanding membawa mereka ke PPS Dewan Datuk Mohd Dun Banir di pekan yang agak jauh dan laluan pula terputus akibat banjir,” katanya ketika meninjau kawasan terjejas banjir di Kampung Bangkalalak, di sini, hari ini.

Katanya, pembukaan dua PPS komuniti itu juga dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan penduduk setempat atau dari kampung lain kerana tidak perlu berpindah jauh.

“Walaupun penduduk yang dikuarantin sudah dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) di Selagon, namun kita perlu juga mengambil langkah pencegahan bagi mengelak penularan jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam, berkata secara keseluruhan sebanyak 52 kampung terjejas akibat banjir dan 16 kampung terputus hubungan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Tinjauan kita mendapati air masih meningkat di kawasan perkampungan dan situasi cuaca yang tidak menentu ini dijangka akan menyebabkan banjir berterusan selama beberapa hari.

“Keadaan ini pasti menyebabkan penduduk terjejas pendapatan dan kita akan lihat bagaimana cara untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Banjir melanda daerah ini berikutan limpahan air Sungai Padas sejak semalam berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|