Tiada kerja edar dadah pula, kan dah kantoi

Tiada kerja edar dadah pula, kan dah kantoi

Beaufort: Seorang lelaki mengaku terpaksa menjalankan aktiviti pengedaran dadah disebabkan tiada punca pendapatan.

Namun, kegiatannya itu tidak bertahan lama apabila dihidu polis dalam operasi serbuan di sebuah rumah di Kampung Berangkok, Kuala Penyu, di sini, semalam.

Dalam operasi jam 5.45 petang itu, polis yang bertindak atas maklumat berjaya menahan lelaki berusia 26 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, semasa serbuan dijalankan, suspek yang berada di bahagian bawah rumah hanya mampu mendiamkam diri.

Katanya, pemeriksaan kemudiannya mendapati terdapat 1 bekas plastik di dalam beg sandang dipakai suspek mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 7.30gram.

“Suspek mengaku mendapatkan bekalan dadah syabu daripada seorang pengedar tempatan nama ‘Nabil’ di Pekan Kinarut, Papar.

“Malah suspek turut mengakui terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah syabu sejak awal tahun 2019 kerana tiada punca pendapatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|