Konflik manusia-gajah – bukan salah gajah

Konflik manusia-gajah – bukan salah gajah

Kota Kinabalu: Konflik manusia – gajah yang berlaku di Sabah, khususnya di beberapa dearah sekitar pantai timur berpunca daripada aktiviti penerokaan yang dijalankan di kawasan habitat asal gajah menyebabkan haiwan liar itu berhijrah dari satu kawasan ke kawasan lain.

Pensyarah Kanan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Nurzhafarina Othman, berkata penghijrahan gajah pygmi Borneo khususnya ke kawasan yang didiami penduduk itulah yang menimbulkan konflik gajah-manusia.

“Sebenarnya gajah ini tidak mempunyai pilihan dan terpaksa berhijrah akibat gangguan ekosistem yang dialami di habitat mereka,” katanya padawebinar bertajuk ‘Human and Nature – The Natural Bond’ anjuran My STEM Ambassador UMS dengan kerjasama U-Science, baru-baru ini.

Webinar antara lain bertujuan untuk memahami ekosistem gajah pygmy Borneo dan landskap habitat haiwan berkenaan di Sabah.

Nurzhafarina berkata ketika ini dianggarkan terdapat lebih 1,000 gajah pygmy di sekitar daerah Kinabatangan, Tabin, Lahad Datu dan bahagian tengah negeri Sabah.

“Kewujudan haiwan ini sangat penting dalam ekosistem alam semula jadi di negeri ini. Bagi mengendalikan konflik yang berlaku, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan.

“Pasukan ini yang dikenali sebagai Community Elephant Conservation Team bertujuan membantu dalam memberi khidmat nasihat di kawasan Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

“Selain itu, usaha bagi merealisasikan Livelihood Insurance for Elephant (LIFE) juga adalah antara langkah untuk memastikan ekosistem Gajah Kerdil Borneo terus terpelihara,” katanya.

Webinar yang berlangsung lebih sejam itu boleh diikuti melalui pautan https://www.youtube.com/watch?v=H2BEFmR4APs.

Isu gangguan gajah atau lebih dikenali sebagai konflik manusia-gajah sering dilaporkan di daerah seperti Telupid dan Kinabatangan berikutan kehadiran gajah di kawasan ladang dan perkampungan.

Keadaan itu menimbulkan banyak kerosakan tanaman, selain mengancam keselamatan penduduk.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|