Awas, jangan tinggalkan sampah di taman – DBKK

Awas, jangan tinggalkan sampah di taman – DBKK

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberi amaran tegas akan menjejaki individu yang sengaja meninggalkan sampah tanpa dimasukkan dengan betul dalam tong sampah disediakan di taman awam sekitar bandar raya ini selepas selesai beriadah atau berehat.

Dalam satu kenyataan, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip, berkata perbuatan terbabit antara punca sampah berselerak di kawasan taman hingga menjejaskan keselesaan pengunjung lain.

Beliau berkata, DBKK sudah menyediakan tong sampah di semua taman awam seliaannya, namun masih ada pengunjung tidak menggunakan kemudahan itu sewajarnya.

“Taman-taman awam adalah kawasan tumpuan dan beriadah warga bandar raya Kota Kinabalu, namun ada segelintir pengunjung yang suka membuang sampah merata-rata tempat walaupun tong sampah sudah disediakan di awasan itu.

“Sikap yang tidak bertanggungjawab ini mencacatkan pandangan dan keindahan taman-taman awam di bandar raya Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu dipercayai dilakukan oleh orang awam yang singgah berehat pada waktu tengah malam.

Berikutan itu, katanya DBKK akan mengenal pasti individu yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu dan tindakan tegas akan diambil termasuk kompaun sehingga RM500 mengikut Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap DBKK 1984 Pindaan 2005 atau didakwa di mahkamah.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara dua tahun atau menjalani hukuman khidmat masyarakat selama empat jam sehari dalam tempoh tidak melebihi tiga bulan.

“Pengunjung diingatkan supaya sentiasa peka dan prihatin terhadap kebersihan kawasan awam khususnya taman-taman awam yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Katanya, DBKK juga memohon agar pengunjung sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan dan kemudahan awam yang disediakan di kawasan awam.

Selain itu, katanya DBKK turut berdepan masalah anjing liar yang sering menyelongkar tong sampah di kawasan taman awam hingga menyebabkan sampah berselerak.

Secara rutin katanya, pekerja lapangan Jabatan Landskap DBKK membersihkan kawasan taman pada setiap pagi sebelum kehadiran pengunjung lain bagi memastikan keselesaan orang ramai yang melakukan aktiviti riadah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|