Persatuan Pengguna Bijak sambut baik komitmen RMKe-12 bantu majukan Sabah

Persatuan Pengguna Bijak sambut baik komitmen RMKe-12 bantu majukan Sabah

Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Bijak Sabah menyambut baik komitmen kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri kurang membangun terutama Sabah dan Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Presidennya, David Chan, berkata peruntukan yang disediakan melalui inisiatif yang digariskan dalam RMKe-12 itu diharapkan mampu memacu pembangunan dan kemajuan di Sabah agar tidak jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

“Saya bagi pihak Persatuan Pengguna Bijak Sabah melahirkan penghargaan di atas komitmen kerajaan melalui RMKe-12 yang memberi tumpuan kepada usaha untuk melaksanakan pembangunan negeri ini.

“Kita amat berharap Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam menikmati arus kemajuan sama seperti negeri lain sama ada dalam aspek kemudahan asas seperti elektrik, bekalan air bersih, capaian internet jalur lebar, jalan raya, infrastruktur pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini mengenai peruntukan sebanyak RM9.13 bilion disalurkan kepada Sabah dan Sarawak dalam RMKe-12.

David berkata, pihaknya berharap sebahagian peruntukan itu digunakan bagi meningkatkan kemudahan penjagaan kesihatan khususnya membina klinik kesihatan baharu di Penampang dan Beaufort yang dilihat amat memerlukan penambahbaikan selain membina pusat tabung darah baharu.

“Saya juga berharap agar ada pemantauan secara teliti melibatkan beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan semua perancangan RMKe-12 di Sabah dapat dijayakan.

“Kerajaan Persekutuan mesti menekankan layanan adil untuk Sabah dalam membentuk dan merancang RMKe-12 dengan menyalurkan peruntukan sumber kewangan secara saksama dalam membangunkan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan penuh perlu diberikan kepada usaha mengurangkan jurang perbezaan di antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung yang menjadi isu dalam kalangan rakyat.

“Kita mahu slogan Keluarga Malaysia benar-benar direalisasikan oleh Perdana Menteri supaya rakyat Sabah tidak berasa tersisih daripada peruntukan dan bantuan pembangunan serta kemajuan.

“Oleh itu RMKe-12 ini harus menjadi satu komitmen politik jitu pimpinan kerajaan persekutuan kepada negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.

Persatuan Pengguna Bijak Sabah turut menyatakan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|