Operasi perniagaan dilanjut hingga 10 malam, 12 tengah malam

Operasi perniagaan dilanjut hingga 10 malam, 12 tengah malam

Kota Kinabalu: Waktu operasi perniagaan di Sabah dilanjutkan sehingga jam 10 malam dan 12 tengah malam, mengikut jenis premis mulai Jumaat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kedai runcit, kedai serbaneka, pasar mini, pasar raya dan pasar raya besar dibenarkan beroperasi dari jam pagi hingga 10 malam.

Katanya, kompleks membeli belah turut dibenar beroperasi antara jam 6 pagi hingga 10 malam, namun hanya membabitkan sub sektor yang dibenarkan beroperasi.

“Stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak pula dibenarkan beroperasi dari jam 5 pagi hingga jam 12 tengah malam.

“Pengusaha restoran termasuk di hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk juga dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sebelum ini, premis perniagaan di Sabah dibenar beroperasi hingga jam 8 malam dan 10 malam.

Sementara itu, Masidi sekali lagi mengingatkan orang ramai di negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan penjarakan sosial bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Tegasnya, individu yang bergejala, berisiko atau kontak rapat perlu menjalani saringan terutama bagi individu yang mempunyai ahli keluarga yang berisiko seperti warga emas, mengidap penyakit kronik dan komorbiditi serta kanak-kanak di bawah 12 tahun yang belum layak vaksin.

“Langkah-langkah ini amat perlu
bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kerajaan negeri membenarkan individu yang menerima dos pertama vaksin AstraZeneca membuat permohonan pengecualian syarat lengkap vaksinasi bagi memasuki premis.

Katanya, bagi pekerja, majikan boleh memohon pengecualian sementara kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menyenaraikan nama kakitangan mereka, tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|