Buaya sesat masuk perangkap

Buaya sesat masuk perangkap

Kota Kinabalu: Seekor buaya sepanjang lebih dua meter berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang selama dua hari di dalam parit dekat Kolej Vokasional Likas, di sini, hari ini.

Buaya yang dipercayai sesat dari habitat asal ekoran cuaca hujan lebat yang menyebabkan banjir sehingga memudahkan haiwan berkenaan bergerak ke kawasan lain.

Jurucakap Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) berkata, pihaknya menerima laporan kewujudan haiwan berkenaan di lokasi oleh pihak pengurusan kolej berkenaan, 25 September lalu.

Namun katanya, selepas dua hari pemantauan dilakukan, WRU terpaksa memasang perangkap besi dengan dilengkapi umpan sesuai bagi menarik haiwan berkenaan memasuki perangkap.

“Hari ini, Kolej Vokasional Likas memaklumkan buaya berkenaan sudah memasuki perangkap yang disiapkan.

“Sepasukan renjer WRU kemudiannya dikerah ke lokasi untuk menjalankan operasi membawa haiwan berkenaan ke lokasi sesuai,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan renjer WRU terpaksa dibantu beberapa kakitangan kolej untuk mengangkat perangkap dari air dan membawanya ke tempat yang lebih selamat sebelum pemeriksaan dapat dilakukan.

“Buaya berkenaan kemudian dibawa ke Pusat Penyelamat Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, WRU turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Kolej Vokasional Likas atas kerjasama kerana menghubungi pihak berkuasa hidupan liar sebaik menyedari kehadiran haiwan berkenaan.

Katanya, buaya itu boleh menyebabkan kemudaratan atau kejadian tidak diingini sekiranya jatuh ke tangan yang salah atau tidak bertanggungjawab.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Majlis Minyak Sawit Malaysia, Yayasan Pemuliharaan Hijau Kelapa Sawit Malaysia, RAYUAN ORANGUTAN UK dan Zoo Oregon kerana membiayai semua operasi hidupan liar yang dijalankan WRU,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|