Kota Kinabalu: Sabah FC perlu segera menyesuaikan diri bermain pada waktu petang ketika menentang Kelantan FC dalam aksi kedua Kumpulan D Piala Malaysia 2021 di Stadium Muhammad ke IV, petang esok.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata perubahan waktu perlawanan pada sebelah petang itu kemungkinan memberi kesan yang berlainan kepada pasukannya.
Katanya, Sabah FC tidak boleh memandang rendah terhadap pasukan tuan rumah selepas mereka hanya tewas tipis 0 – 2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan sebelum ini, membuktikan pasukan Kelantan FC mempunyai kekuatan yang tersendiri.
“Oleh itu kita harus memperbaiki kelemahan yang ada. Saya percaya dalam latihan dua dan tiga hari lalu selepas perlawanan dengan PJ City kita sudah mengenal pasti beberapa kelemahan yang ada.
“Perlawanan menentang Kelantan FC sangat penting. Kita perlu memastikan Sabah FC tidak kehilangan mata apabila bertemu Kelantan FC. Ini penting untuk memastikan peluang kita mara ke peringkat seterusnya masih lagi terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kim Swee berkata sekiranya Sabah FC gagal mendapat sebarang mata esok, kemungkinan besar ia akan berdepan tugas berat dan lebih mencabar apabila selepas ini bermain menentang JDT di Stadium Likas pada 29 Oktober depan.
“Kita lihat pada perlawanan pertama menentang PJ City FC, kita agak baik terutamanya pada separuh masa pertama tetapi banyak kelemahan pada separuh masa kedua.
“Kita sudah mengenal pasti kelemahan ini dan berharap semua pemain dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan petang esok,” katanya.
-Deasoka