PPM patahkan kegiatan penyeludupan kulit Kayu Tangar bernilai RM420,000

PPM patahkan kegiatan penyeludupan kulit Kayu Tangar bernilai RM420,000

Kudat: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya merampas kulit kayu tangar di kawasan bakau di Sungai Mengkapung Pitas, di sini, dalam satu operasi Op Khazanah Bersepadu, kelmarin.

Operasi jam 3 petang itu berjaya merampas kulit kayu tangar yang dianggarkan bernilai RM420,000 berdasarkan harga pasaran semasa.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Kudat, Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, hasil pemantauan dan risikan mendapati terdapat sebuah pondok yang didirikan secara haram dalam kawasan bakau Sungai Mengkapung pitas.

Katanya, siasatan mendapati, pondok berkenaan dipercayai dijadikan tempat pengumpulan kulit kayu tangar sebelum dibawa keluar untuk di jual ke negara jiran.

“Satu serbuan dilakukan di lokasi berkenaan dan menemukan sejumlah kulit kayu tangar yang dipercayai diambil secara haram.

“Semua kulit kayu berkenaan terus dirampas sebelum dirujuk kepada Jabatan Perhutanan Pitas untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyril berkata, PPM dan pasukan Jabatan Perhutanan kemudiannya menjalankan operasi memusnahkan semua barang rampasan berkenaan.

“Proses pelupusan dilakukan di tempat kejadian dengan membakar semua kulit berkenaan termasuk pondok yang didirikan secara haram,” katanya.

Sementara itu, Cyril berkata, PPM wilayah empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|