“Air kami seperti milo” – penduduk Menumbok dan Kuala Penyu

“Air kami seperti milo” – penduduk Menumbok dan Kuala Penyu

Kuala Penyu: Penduduk di daerah Kuala Penyu dan daerah kecil Menumbok mengadu menerima bekalan air seperti milo yang tidak diketahui puncanya, sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat menggesa Jabatan Air Beaufort dan Kuala Penyu mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah itu.

Katanya, penduduk menghadapi kesukaran disebabkan keadaan air terlalu keruh itu kerana ia tidak dapat digunakan.

“Air keruh yang mengalir dalam paip penduduk sangat menyedihkan dan Jabatan Air perlu mengambil tindakan segera untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Air perlu memberi penjelasan kepada penduduk kenapa bekalan air ke Kuala Penyu dan Menumbok itu berwarna seperti milo dalam beberapa minggu ini.

Katanya, jabatan berkenaan perlu bertindak segera mengatasi masalah itu kerana ia bukan saja menjejaskan rutin harian mereka, malah boleh menyebabkan penduduk hilang sabar.

Ag Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, berkata Jabatan Air seharusnya tampil memberi penjelasan supaya penduduk tidak terlalu kecewa dan mempersoalkan peranan pegawainya dalam menjalankan tugas mereka.

Tambah beliau, pihaknya berkeyakinan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak mengizinkan situasi sedemikian terpaksa dihadapi rakyat khususnya di Kuala Penyu dan Menumbok.

“Justeru, kakitangan Jabatan Air patut melakukan sesuatu yang sesuai dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” tegasnya.

Sementara itu, difahamkan penduduk di dua kawasan itu baru saja menerima bekalan air melalui paip di rumah masing-masing selepas bekalan terganggu baru-baru ini.

Seorang penduduk, Matussin Latip, berkata beliau terkejut apabila mendapati air paip berwarna seperti milo yang terpaksa digunakan untuk mandi dan minum.

Katanya, keadaan air keruh itu masih berlarutan dan ada penduduk yang tiada sumber air lain terpaksa menggunakannya untuk keperluan harian.

Seorang lagi penduduk, Mohd Ariffin yang kecewa dengan masalah bekalan air itu meminta pihak berkuasa berkaitan segera tampil menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kami terlalu kecewa dengan bekalan air seperti ini. Sebelum ini kami menghadapi masalah air bersih sejak beberapa bulan namun apabila air paip sudah mengalir, begini pula warnanya, memang sangat sedih,” katanya.

Bekalan air di Kuala Penyu dan Menumbok sebahagian besarnya disalurkan dari loji rawatan air (LRA) Limbawang di Beaufort yang memproses air Sungai Padas.

Loji berkenaan sering ditutup jika berlaku banjir disebabkan limpahan air Sungai Padas hingga mengakibatkan penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok kerap mengalami gangguan bekalan air.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|