Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu yang tercetus akibat kegagalan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dilaporkan di Sabah, hari ini.
Kluster Long Pasia di Sipitang itu dikenal pasti berpunca daripada sambutan majlis hari jadi yang dihadiri penduduk kampung.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sehingga hari ini seramai 25 orang dikesan positif Covid-19 daripada 30 individu yang disaring di kampung berkenaan.
Katanya, ia adalah kluster kedua dalam minggu ini disebabkan kegagalan pematuhan SOP selepas Kluster Mokodou di Ranau yang berpunca daripada majlis pengebumian, semalam.
“Kluster Long Pasia ini serta Kluster Mokodou di Ranau yang dilaporkan semalam agak mengecewakan dalam usaha kita memerangi pandemik.
“Kedua-dua kes ini jelas menunjukkan masih ada penduduk kita yang tidak mematuhi SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) secara serius.
“Kelalaian dan sikap acuh tak acuh mengakibatkan jangkitan virus Covid-19 yang melibatkan ramai penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Long Pasia adalah perkampungan terpencil berhampiran sempadan Sabah – Kalimantan, Indonesia di Sipitang dengan jarak kira-kira 130 kilometer dari pekan Sipitang.
Sehubungan itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, mengingatkan pemimpin di peringkat akar umbi supaya memantau aktiviti sosial di kawasan masing-masing.
“Adalah diharapkan agar Pegawai Daerah, ketua masyarakat khususnya di peringkat akar umbi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memantau acara sosial di kampung untuk memastikan pematuhan ketat kepada semua SOP.
“Kerjasama rakyat jelata amatlah penting bagi membolehkan kita memenangi perang melawan pandemik Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Sabah hari ini mencatat 993 kes baharu Covid-19, turun tujuh kes berbanding 1,000 kes yang dilaporkan semalam.
Masidi berkata, sebanyak 12 daerah merekodkan peningkatan kes dengan kumulatif peningkatan sebanyak 157 kes, manakala 15 daerah lagi mencatat penurunan kes dengan kumulatif penurunan sebanyak 164 kes.
-Deasoka