Tetak rakan sekerja dan tiga sekeluarga

Tetak rakan sekerja dan tiga sekeluarga

Beluran: Perselisihan faham antara keluarga menjadi punca seorang lelaki bertindak menetak rakan sekerja dan tiga ahli keluarganya dalam kejadian di sebuah Ladang Kampung Cahaya Baru Beluran, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 5.30 pagi itu, pergaduhan dikatakan tercetus akibat isteri mangsa yang bertindak menegur kakak penyerang terbabit mengenai hutang yang belum dijelaskan.

Menurut sumber, suspek yang marah terus menyerang isteri mangsa dengan sebilah parang menyebabkan perbuatan itu cuba dihalang oleh mangsa.

Bagaimanapun katanya, suspek dikatakan sempat menetak tangan mangsa sebelum berjaya dileraikan.

“Keadaan menjadi semakin tidak terkawal sehingga penyelia ladang bertindak meleraikan pergaduhan keluarga dengan membawa suspek ke pejabat ladang bagi mententeramkan keadaan.

“Bagaimanapun, suspek pulang ke rumahnya sebelum tiba-tiba kembali bersama bapanya ke rumah mangsa dan bertindak menetak tiga lagi ahli keluarga mangsa sehingga parah,” katanya.

Menurutnya, keempat-empat mangsa berusia 18 hingga 47 tahun itu terus ke Hospital Beluran untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, semua mangsa kemudiannya di rujuk ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.

“Doktor mengesahkan mangsa mengalami cedera parah namun berada dalam keadaan stabil.

“Manakala, kedua-dua suspek pula terus melarikan diri dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 23 dan 51 tahun terbabit sudah dikenalpasti dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

“Sehubungan itu, polis memohon kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek supaya menyalurkan maklumat kepada Balai Polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|