Rundingan CCA dengan PETRONAS selesai – Hajiji

Rundingan CCA dengan PETRONAS selesai – Hajiji

Kota Kinabalu: Sabah akan mendapat perkongsian hasil lebih besar selain penyertaan dan penguasaan yang lebih luas dalam sektor minyak dan gas selepas rundingan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan kerajaan Pusat dan PETRONAS selesai.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata rundingan itu dimuktamadkan selepas ketiga-tiga pihak mencapai persefahaman dan persetujuan mengenai rundingan berkenaan, baru-baru ini.

“Sukacita saya memaklumkan bahawa rundingan di antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan PETRONAS bagi membincangkan Perjanjian Kerjasama Komersial atau Commercial Collaboration Agreement (CCA) berjaya dimuktamadkan.

“Persefahaman dan persetujuan dicapai
di antara semua pihak sekali gus memastikan perjanjian CCA akan dapat ditandatangani dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2022 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang tadi.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata pencapaian itu sekali gus mengakhiri isu legasi berkaitan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) yang menimbulkan isu minyak dan gas di Sabah sejak sekian lama.

“InsyaAllah, perjanjian ini akan membawa nilai dan makna yang lebih besar kepada Sabah. Sabah akan
mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih luas dalam hal berkaitan minyak dan gas,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri dan PETRONAS juga membuat kajian bersama bagi menentukan nilai tambah industri gas yang boleh memberikan pulangan ekonomi jangka panjang kepada Sabah.

Antaranya beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju agar PETRONAS membina kemudahan gas asli cecair (LNG) berdasarkan konsep ‘nearshore’ yang pertama di negeri ini iaitu di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Pada masa sama, katanya Sabah juga akan mempunyai peruntukan gas untuk menyokong industri hiliran di negeri ini.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri berkeyakinan tinggi kerajaan persekutuan memahami keperluan dan tuntutan pembangunan negeri serta rakyat di Sabah yang menjadi asas untuk kerajaan negeri meneruskan perundingan melalui pelbagai pelantar di semua peringkat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|