Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyambut baik Belanjawan 2022 berjumlah RM4.596 bilion yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang semalam.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata belanjawan itu menumpukan usaha mengurangkan beban rakyat yang amat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 selain meningkatkan ekonomi negeri.
“Saya menyambut baik beberapa pengumuman dalam pembentangan bajet kali ini dan turut memberi sokongan kepada Ketua Menteri.
“Saya juga yakin kita akan dapat menguruskan lagi ekonomi negeri Sabah dengan baik pada masa akan datang dengan adanya plpendapatan yang kita rancang untuk meningkatkan ekonomi negeri,” katanya ketika mengulas intipati Belanjawan Negeri Sabah 2022, di sini.
Mengulas lanjut berhubung belanjawan lebihan atau surplus sebanyak RM110.68 juta yang bertemakan ”Ekonomi Pulih, Rakyat Sejahtera’ itu, Bung Moktar, nilai itu akan bertambah pada masa akan datang apabila kerajaan negeri memperoleh lebih banyak keuntungan.
Jelasnya, hasil daripada keuntungan itu mampu digunakan untuk membangunkan lebih banyak prasarana dan infrastruktur secara holistik untuk rakyat di negeri ini.
Katanya, beliau juga akan berbincang dengan Menteri Kewangan berhubung langkah dan tindakan yang boleh dilakukan bagi mempertingkatkan lagi infrastruktur di Sabah.
“Kita memahami lebih banyak keperluan pembangunan insfrastruktur diperlukan dan ditingkatkan di negeri ini, antaranya sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, pendidikan dan lain-lain yang memerlukan tumpuan khusus untuk menambah baik keperluan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, semua sektor yang menyumbang kepada pendapatan ekonomi Sabah perlu diselaraskan secara bijaksana.
Tambahnya, tumpuan juga perlu diberikan terhadap beberapa sektor antaranya pertanian, selain sektor pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar yang beliau gambarkan sebagai enjin pendapatan ekonomi Sabah sebelum ini.
“Permintaan dalam sektor pertanian semakin bertambah, demikian juga harga barangan turut naik apa lagi sektor ini juga turut terkesan ketika penularan pandemik Covid-19, justeru fokus untuk mengembalikan agar sektor ini berdaya maju perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan,” katanya.
Jelasnya lagi, berdasarkan trend sektor ini, beliau melihat ia satu peluang bagi kerajaan negeri untuk menambah bantuan kepada pemain dalam industri kecil dan sederhana (SME) yang rata-rata terdiri daripada masyarakat kampung.
-Deasoka