UMS rancang tiga majlis konvokesyen tahun depan

UMS rancang tiga majlis konvokesyen tahun depan

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang mengadakan tiga majlis konvokesyen pada tahun depan bagi meraikan pelajar yang berjaya menamatkan pengajian pada 2020, 2021 dan tahun depan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail, berkata ia bermula dengan Majlis Konvokesyen Ke-22 untuk pelajar yang menamatkan pengajian pada tahun lalu dijadual diadakan pada Mac 2022.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rasid Mail. Pix ihsan UMS

Selepas itu, katanya Majlis Konvokesyen Ke-23 pada Jun 2022 untuk graduan yang tamat pengajian pada tahun ini dan Majlis Konvokesyen Ke-24 pada November 2022 untuk graduan yang tamat pengajian tahun depan.

“Bagi yang tamat pengajian tahun lalu, setakat ini hampir semua daripada 4,639 graduan prasiswazah dan pasca siswazah yang diisytiharkan Canselor UMS pada 30 Disember 2020 sudah menerima skrol dan transkrip keputusan masing-masing.

“Satu berita gembira untuk graduan yang tamat pengajian pada tahun lalu, UMS merancang untuk mengadakan majlis istiadat konvokesyen untuk mereka pada Mac 2022.

“Penangguhan majlis ini yang sepatutnya dilaksanakan pada November 2020 disebabkan halangan dan isu keselamatan kesihatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Jika keadaan mengizinkan, majlis istiadat konvokesyen bagi graduan 2022 pula akan dilaksanakan pada November tahun depan, sekali gus menjadikan tiga majlis konvokesyen diadakan UMS pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bagi tahun ini, seramai 4,405 pelajar daripada pelbagai bidang kepakaran, termasuk 521 pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dijangka menamatkan pengajian.

Bagaimanapun, beliau berkata senarai muktamad graduan tahun ini akan diisytiharkan Yang di-Pertua Negeri Sabah selaku Canselor UMS, Tun Dr Juhar Mahiruddin dalam masa terdekat.

“Istiadat konvokesyen yang biasanya diadakan pada November setiap tahun ditangguhkan berikutan masih ada ancaman dan isu keselamatan disebabkan penularan pandemik Covid-19.

“Dengan mengambil kira beberapa faktor seperti kelancaran dan hal keselamatan, maka majlis istiadat konvokesyen bagi graduan UMS 2021 dirancang dilaksanakan pada Jun 2022,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil kira komposisi graduan UMS yang terdiri daripada 40 peratus hingga 45 peratus berasal dari luar Sabah, termasuk pelajar antarabangsa.

Keadaan itu, katanya memerlukan perancangan yang lebih rapi, berbanding Istitusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain terutama dari segi keperluan perjalanan dan pergerakan rentas negeri dalam kalangan graduan dan keluarga mereka.
Jelasnya, semua proses persiapan majlis konvokesyen sedang giat dijalankan dan ketiga-tiga istiadat majlis konvokesyen UMS itu diharap dapat dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan yang dibuat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|