Terjun laut tinggalkan petrol seludup RM37,815

Terjun laut tinggalkan petrol seludup RM37,815

Semporna: Sebuah bot laju yang dipercayai cuba menyeludup minyak petrol ke negara jiran ditahan dalam operasi Pasukan Polis Marin (PPM) di Pulau Selakan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, bot berkenaan ditahan untuk pemeriksaan selepas ditemui dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek bertindak terjun daripada bot sebelum melarikan diri ke kawasan cetek di pulau berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap bot berkenaan, pasukan operasi menemui beberapa tong berisi petrol yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran Filipina.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah keseluruhan RM37,815 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Rampasan kemudiannya di bawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah empat Sabah di nombor 013-9391197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan dengan berhubung terus ke mana-mana balai polis berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|