Kota Kinabalu: Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada diperiksa membongkar kegiatan aktiviti mengebom ikan di kedudukan 0.5 batu nautika barat laut perairan Tanjung Wokong, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.22 malam itu, bot pam yang dinaiki seorang lelaki pada awal cuba ditahan untuk pemeriksaan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun, sebaik cuba dihampiri, kru bot terbabit bertindak terjun ke laut meninggalkan bot sebelum berenang menuju ke daratan berhampiran dan menghilangkan diri.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot pam tanpa nombor pendaftaran berkenaan menemui beberapa fius dan sekotak mancis kayu disyaki digunakan untuk aktiviti mengebom ikan.
Katanya, turut ditemui satu tong sejuk beku yang dipenuhi ikan pelbagai jenis disyaki ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap ikan di dalam tong berkenaan mendapati perut ikan hancur disyaki kesan dari aktiviti mengebom.
“Bot pam berkenaan terus ditunda masuk ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Rosli berkata, mengikut undang-undang, sesiapa yang melakukan aktiviti mengebom ikan boleh didakwa mengikut Seksyen 26, Akta Perikanan 1985.
Katanya, ia merangkumi kesalahan menangkap ikan dengan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.
“Jika didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda, dan RM600 ribu dalam hal tiap-tiap anggota kru bagi kapal asing.
“Manakala bagi warga tempatan, pesalah boleh didakwa mengikut Seksyen 25 (b) akta sama yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti jenayah yang berlaku di laut terutamanya pencerobohan bot nelayan asing.
Katanya, komuniti maritim juga dinasihatkan agar sentiasa peka dengan keselamatan diri serta keluarga semasa melakukan aktiviti rekreasi di pesisir pantai dan di laut.
“Orang ramai perlu sentiasa ambil berat terhadap perubahan keadaan cuaca agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini semasa bercuti bersama keluarga,” katanya.
-Deasoka