Lapan teras Pelan Strategik Kementerian Kerja Raya Sabah 2021-2025

Lapan teras Pelan Strategik Kementerian Kerja Raya Sabah 2021-2025

Kota Kinabalu: Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) menggariskan lapan teras strategik menerusi Pelan Strategik KKRS 2021 – 2025 sejajar pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata usaha meningkatkan kecekapan tadbir urus bagi memperkasa pembangunan infrastruktur diletakkan sebagai teras pertama dalam pelan berkenaan.

Robert menyerahkan buku Pelan Strategik KKRS kepada Ir Ali Ahmad sempena pelancaran pelan berkenaan.

Katanya, ia diikuti usaha memantapkan pengurusan dan pelaksanaan projek jalan, jambatan dan bangunan serta memperkasakan pengurusan sistem bekalan air.

Selain itu, katanya pelan berkenaan turut menggariskan usaha memoden dan mengembangkan operasi perkhidmatan kereta api serta memantapkan aktiviti kawal selia lalu lintas air di seluruh had pelabuhan, dermaga, sungai dan pantai pasang surut.

Mohd Jasmin menyampaikan cendera kenangan kepada Robert selepas melancarkan Pelan Strategik KKRS.

“Seterusnya pelan ini juga menggariskan usaha menyediakan prasarana pelabuhan, membangunkan dan menyelenggara sistem pembetungan serta menambah baik sistem pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena pelancaran Buku Pelan Strategik KKRS 2021-2025 yang dibacakan Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Robert Tawik, di sini, hari ini.

Robert diiringi Mohd Jasmin melancarkan melancarkan Pelan Strategik KKRS.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap KKRS, Datuk Mohd Jasmin Julpin; Timbalan Setiausaha Tetap KKRS, Hasan Mahali dan Wong Foo Ten serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Datuk Ir Ali Ahmad.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata beliau yakin penghasilan pelan berkenaan menzahirkan komitmen KKRS dalam usaha merealisasikan Pelan Pembangunan SMJ 2021-2025 seiring dengan kerangka utama pembangunan negara melalui Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

Jelasnya, KKRS sentiasa komited dan bermotivasi untuk melipatgandakan usaha bagi menambah baik kualiti sistem penyampaian perkhidmatan melalui inisiatif dan sasaran yang ditetapkan dalam pelan strategik itu.

“Besar harapan saya agar dokumen Pelan Starategik KKRS 2021-2025 ini akan dapat direalisasikan dan memberi impak yang baik kepada pelanggan dan pemegang taruh,” katanya.

Katanya, pelaksanaan pelan strategik itu juga sejajar dengan perubahan, tekanan dan cabaran semasa, khususnya pandemik Covid-19 dihadapi KKRS dan agensi di bawahnya dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi ekspektasi rakyat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|