Kota Kinabalu: Pesta Regatta Lepa di Semporna yang bermula Khamis ini memberi tumpuan kepada usaha untuk mengetengahkan budaya dan cara hidup masyarakat di daerah itu, khususnya dalam mendepani cabaran semasa.
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Kesenian Bajau Semporna (PEKAS), Datuk Seri Nasir Sakaran, berkata cerita atau kisah kepahlawanan masyarakat zaman dahulu adalah antara contoh yang wajar diteladani dan dihargai.
Jelasnya, kisah kepahlawanan itu seharusnya dikaitkan dengan tekad, usaha, kepatuhan, keyakinan dan semangat kental menempuh halangan dan kegusaran dalam memajukan diri serta masyarakat, khususnya dalam situasi pandemik.
“Kita amat bersyukur kerana kesan daripada kebijaksanaan kepimpinan dan kerajaan serta kerjasama rakyat, maka pandemik Covid-19 semakin dapat dikawal.
“Oleh yang demikian, ini membolehkan sektor ekonomi kembali rancak dan hubungan sosial masyarakat kembali seperti sediakala dalam norma baharu,” katanya pada Majlis Makan Malam Pesta Regatta Lepa 2021, di sini, malam tadi.
Majlis perasmian sambutan Regatta Lepa itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Ramlan Ibrahim; Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Askalani Abdul Rahim dan Pengerusi Pelaksana Regatta Lepa, Datuk Abdul Hajan Gurimbag.
Aktiviti sempena Pesta Regatta Lepa di Semporna kali ini bermula pada 16 Disember hingga 18 Disember ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan pihak kesihatan dan keselamatan.
Sementara itu, Abdul Hajan berkata, beberapa kelainan dibuat dalam sambutan Regatta Lepa kali ini bagi merancakkan semula sektor ekonomi, khususnya pelancongan.
Katanya, kaedah penganjuran turut diubah dengan melaksanakannya secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian sebagai langkah pencegahan mengelak penularan Covid-19.
Pada tahun ini juga katanya, sambutan disertai peserta dari Indonesia dan Tawi-Tawi, Filipina yang akan ke Semporna dengan menaiki lepa atau perahu tradisi masyarakat Bajau Laut.
-Deasoka