UPPM disaran kemas kini data tiga atau enam bulan sekali

UPPM disaran kemas kini data tiga atau enam bulan sekali

Putatan: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) disaran membuat kemas kini pengkalan data di kawasan masing-masing setiap tiga atau enam bulan sekali.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kemas kini data atau maklumat di kawasan masing-masing amat penting untuk membantu menjayakan program atau bantuan daripada kerajaan.

Shahelmey bersama Matbali ketika mengambil gambar kenangan bersama pemimpin UPPM yang hadir pada Majlis Perasmian dan Penutupan Siri jelajah Taklimat UPPM seluruh Sabah Tahun 2021, di Putatan.

“Contohnya melalui ‘outreach’ Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sekiranya UPPM tidak mempunyai maklumat terkini dan lengkap tentang kawasan masing-masing maka akan menyukarkan untuk UPPM bekerjasama membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah untuk menjejak penduduk yang boleh diberi vaksin.

“Begitu juga apabila kita mengemas kini pengkalan data sama ada individu, keluarga dan juga prasarana yang ada di kawasan masing-masing supaya ini boleh memudahkan apabila UPPM berbincang dengan wakil rakyat masing-masing untuk menunaikan apa juga agenda pembangunan, bantuan yang diberikan kerajaan boleh diselaraskan dengan mudah,” katanya ketika berucap selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Penutupan Siri jelajah Taklimat UPPM seluruh Sabah Tahun 2021, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat menyarankan supaya setiap UPPM sentiasa membudayakan mengemaskini data setiap tiga bulan atau enam bulan sekali.

“Ini kerana ketika kita melalui pandemik Covid-19 ini, apabila kita memberi bantuan bakul makanan mengikut empat kriteria dan kita terus menerima maklumat bahawa ada yang tercicir, terlepas pandang.

“Jadi kita minta UPPM yang membantu kita mengemas kini dan menyelaraskan senarai golongan yang tercicir atau terpinggir itu. Maka itu pentingnya UPPM sentiasa membuat kemas kini data agar memudahkan kita untuk melaksanakan hulur bantuan atau program kerajaan,” katanya.

Sebelum itu, ketika bercakap dengan media, Shahelmey turut mengingatkan dua perkara kepada UPPM iaitu sentiasa mengamalkan budaya kerja yang berintegriti dan berkualiti serta mengamalkan cara berkomunikasi yang jelas.

“Berintegriti membawa maksud yang luas bahawa kita perlu bekerja secara adil dan telus selain inklusif terhadap masyarakat kerana kita adalah wakil kepada kerajaan dan yang menghubungkan antara kerajaan dan rakyat.

“Seterusnya mengenai cara berkomunikasi dengan jelas kerana pada zaman ini kita mempunyai cabaran di mana era teknologi maklumat berlaku begitu pantas. Jadi penting kepada semua pemimpin masyarakat termasuk UPPM untuk berkomunikasi dengan jelas supaya rakyat sentiasa faham tentang apa juga isu, apa juga penerangan, apa juga program daripada kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Hadir sama dalam program itu ialah Pengarah UPPM Sabah Datuk Matbali Musah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|