UMS komited lahirkan usahawan berkemahiran tinggi, berdaya saing

UMS komited lahirkan usahawan berkemahiran tinggi, berdaya saing

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited mendukung hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai usahawan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing pada masa hadapan.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia merupakan fokus yang diberikan penekanan utama di bawah Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025, iaitu Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang.

Dr Taufiq Yap Yun Hin.

“Antara inisiatif yang digariskan termasuklah mendedahkan budaya keusahawanan ke dalam sistem pendidikan tinggi negara.

“Selain itu, anjakan minda dan paradigma pelajar UMS daripada bermatlamatkan untuk menjadi pencari kerja (job seeker) kepada pencipta pekerjaan (job creator) apabila mereka telah tamat pengajian kelak,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan Program (APK) Virtual Expo kali kedua, semalam.

Menurut Taufiq, pencari kerja pada masa kini sangat mencabar kerana graduan harus bersaing dengan pencari kerja berpengalaman yang kehilangan pekerjaan sebelum ini.

“Berbanding graduan universiti, kelebihan mereka ialah pengalaman kerja yang bertahun-tahun sebelum mereka kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.

“Jadi pelajar APK sekalian, terserah pada anda selepas ini sama ada mahu menjadi pencari kerja atau menjadi pencipta pekerjaan dengan menjadi usahawan yang berpendidikan tinggi,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu berkata, pandemik COVID-19 membataskan pergerakan fizikal pelajar dalam melaksanakan aktiviti Ekspo APK menjual dan mempromosi secara bersemuka sebelum ini.

“Semua ini tidak mematahkan semangat  pensyarah APK dan pelajar, sebaliknya menjadi pemangkin untuk mereka meneroka kaedah terbaik bagi memastikan Ekspo APK tetap dapat dilaksanakan walau dalam apa cara sekalipun.

“Saya difahamkan aktiviti promosi dan penjualan produk dan perkhidmatan dilaksanakan oleh pelajar yang mengikuti kursus APK secara dalam talian sepenuhnya. Tahniah sekali lagi saya ucapkan,” katanya.

Terdahulu, lebih 50 vendor mengambil bahagian melalui kaedah urus niaga menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan WhatsApp.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|