Putatan: Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) diminta supaya menguar-uarkan kepada penerima dos penggalak vaksin Covid-19 supaya hadir pada janji temu yang ditetapkan.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, walaupun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai sasaran namun bagi pemberian dos penggalak kepada yang layak dilihat masih perlahan.
“Sekarang ini kita memasuki fasa pemberian dos penggalak dan kalau kita lihat setakat hari ini nampaknya kadar orang ramai yang layak untuk menerima dos penggalak agak perlahan
“Jadi kita minta UPPM untuk turun menguar-uarkan kepada rakyat kita supaya tampil ke hadapan apabila menerima janji temu untuk diberi dos penggalak untuk pergi menerimanya,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Perasmian dan Penutupan Siri jelajah Taklimat UPPM seluruh Sabah Tahun 2021, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan penerimaan dos penggalak rakyat di negeri ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan adanya dos penggalak ia akan menguatkan lagi sistem pertahanan diri individu terbabit.
“Kita faham kenapa kadar penerimaan dos penggalak ini agak perlahan, ia disebabkan dalam prosedur operasi standard (SOP) kita hanya memerlukan lengkap dua dos, tidak ada keperluan untuk lengkap tiga dos.
“Tetapi kita kena ingat bahawa varian virus Covid-19 ini sentiasa bermutasi jadi dengan adanya dos penggalak ini maka kita percaya sistem pertahanan badan kita akan meningkat dan dalam masa sama jangan lupa pada SOP perlu terus dipatuhi,” katanya.
Sebelum itu, dalam ucapan beliau berkata, UPPM mempunyai peranan yang begitu besar dalam usaha menjayakan program ‘outreach’ untuk menjejaki penduduk di kawasan daerah yang mempunyai statistik yang rendah menerima vaksin.
“Peranan UPPM begitu jelas sekali terutama apabila kita melakukan program-program outreach menjejaki penduduk yang belum menerima vaksin sehingga mereka menerima vaksin.
“Enam daerah yang mempunyai statistik pencapaian yang rendah menerima vaksin seperti Kinabatangan, Sandakan, Tongod, Kunak, Tawau dan juga Nabawan, UPMM adalah penggerak utama membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk menjejaki serta mengenal pasti mana-mana individu yang layak untuk diberi vaksin,” katanya.
Sebelum itu, hadir sama dalam program itu Pengarah UPPM Sabah Datuk Matbali Musah.
-Deasoka