Sabah komited tangani perubahan iklim

Sabah komited tangani perubahan iklim

Kota Kinabalu: Sabah menyasarkan untuk menanam 36 juta pokok menerusi Program Penghijauan Malaysia sebagai jaminan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sasaran itu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun sehingga 2025 sejajar dengan komitmen kerajaan negeri melaksanakan pendekatan hijau dalam menangani isu alam sekitar.

Hajiji merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021 sambil disaksikan Jafry, Safar dan Anuar.

Beliau berkata, setakat ini hampir 4.5 juta pokok sudah ditanam di seluruh negeri menerusi program berkenaan yang bertemakan Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita.

“Kerajaan negeri juga sudah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah Jabatan Perhutanan Sabah untuk membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau dan pertumbuhan rendah karbon.

“Komitmen ini sejajar dengan dasar negeri Sabah mengenai alam sekitar dan aspirasi negara terutamanya dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim.

“Perubahan iklim adalah antara aspek utama dalam dasar kerajaan dan kita komited untuk mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan kualiti udara Sabah tidak akan merosot akibat aktiviti pembangunan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021, di sini, hari ini.

Persidangan dua hari secara hibrid itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Program Penyelidikan Hutan Asia Tenggara (SEARRP) dan PETRONAS sebagai penaja utama.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Penasihat Kerajaan dan Pengawal Selia PETRONAS, Anuar Ismail; Pengarah SEARRP, Datuk Dr Glen Reynolds dan Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Berkaitan Perubahan Iklim, Datuk Darrel Webber.

Hajiji berkata, persidangan itu tepat pada masanya kerana kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau yang semakin teruk, kebakaran dan jerebu, kekerapan hujan lebat dan ribut hingga menyebabkan banjir di kawasan pedalaman dan pantai serta ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan makanan, kini dirasai secara global.

Beliau berkata, persidangan berkenaan bukan saja meningkatkan kesedaran mengenai kesan perubahan iklim kepada masyarakat tetapi berkongsi pengetahuan serta kemudahan rangkaian.

“Saya berharap persidangan ini juga akan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam kedua-dua agenda iaitu perubahan iklim dan pemuliharaan.

“Saya juga berhasrat untuk melihat penyertaan lebih ramai belia supaya mereka juga boleh menyuarakan tindakan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Hajiji berkata, Malaysia juga sedang berusaha secara aktif untuk mencapai matlamat pembangunan mapan dan mempergiatkan usahanya melalui pelbagai kementerian serta agensi dalam inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim.

Jelasnya, Malaysia juga mengambil bahagian dalam kerjasama dan perjanjian antarabangsa seperti Perjanjian Paris yang berkuatkuasa pada 2016.

Beliau berkata pada Persidangan Perubahan Iklim (COP26) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Glasgow, Scotland, baru-baru ini, Malaysia mengulangi komitmennya untuk mencapai pengurangan pelepasan gas rumah kaca melalui pengemaskinian Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) dan aspirasi untuk mencapai pelepasan bersih sifar pada 2050.

Sambil merakamkan penghargaan kerajaan negeri atas komitmen semua untuk menjayakan persidangan itu, Hajiji berharap ia akan menjadi platform untuk tindakan yang lebih jauh dalam menangani isu perubahan iklim secara bersama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|