Tawau: Cubaan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘tekong darat’ untuk membawa masuk 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) tidak kesampaian apabila ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan di lampu isyarat Batu 1, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Semua PATI berusia 6 bulan hingga 50 tahun yang dipercayai baru tiba dari negara jiran ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau, kira-kira jam 8.30 malam.
Pasukan PPM memeriksa kenderaan pacuan empat roda dinaiki 17 PATI yang baru tiba dari negara jiran. Pix ihsan PPM
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, hasil pemeriksaan mendapati, semua mereka baru tiba dari negara jiran dengan menggunakan bot.
Katanya, mereka tidak memiliki dokumen yang sah dan dihantar menggunakan kenderaan ke arah tujuan.
17 PATI yang baru tiba ditahan anggota PPM Tawau di lampu isyarat Batu 1, Jalan Apas, Tawau. Pix ihsan PPM
“Semua mereka warga Indonesia ditemukan di dalam kenderaan pacuan empat roda selepas anggota PPM mengekori kenderaan dinaiki mereka dari Batu 4 sebelum menahannya di lampu isyarat Batu 1.
“Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, semua tahan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM68,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.
Sementara itu, Ridzauddin berkata, pihaknya terus komited dalam menjalankan operasi mengekang jenayah terutama jenayah rentas sempadan.
“Masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya diminta supaya terus menyalurkan sebarang kegiatan jenayah dalam usaha pihak berusaha membanteras kegiatan jenayah di perairan negeri ini.
“Masyarakat boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sa ab di talian 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” jelasnya.
-Deasoka