Kedudukan ADUN Segama Kekal

Kedudukan ADUN Segama Kekal

Kota Kinabalu: “Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi kekal,” Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.

Menurutnya, kerusi DUN Segama tidak akan dikosongkan walaupun Mohamaddin bukan lagi ahli Warisan selepas beliau mengumumkan keluar daripada parti itu pada 30 Oktober lalu.

“Saya menerima emel daripada Mohamaddin, ketika itu saya berada di Kuala Lumpur, iaitu surat dan dokumen yang membatalkan segala ‘Aku Janji’ yang tandatangani beliau dengan Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri lalu.

“Selepas itu pada 1 November lalu, pejabat saya terima surat dari firma guaman yang mengaku bertindak bagi pihak Mohamaddin yang mana surat itu menyatakan perletakan jawatan Datuk Mohamaddin,” katanya pada sidang media di Bangunan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Kadzim berkata, pada keesokan harinya, beliau menerima surat dan akuan berkanun daripada Mohamaddin yang menafikan ada menandatangani surat perletakan jawatan yang dikemukakan pada hari sebelumnya.

Katanya, Mohamaddin turut menafikan melantik firma guaman bagi pihaknya untuk membuat perletakkan jawatan berkenaan.

“Malah saya sendiri bertemu dengan Mohamaddin secara bersemuka, semalam, untuk menemubualnya berhubung perkara itu.

“Beliau sekali lagi menegaskan tidak pernah letak jawatan (sebagai ADUN) dan tiada sebab untuk meletak jawatan.

“Saya juga terima surat perakuan daripada beliau yang mengatakan tidak pernah meletak jawatan dan saya juga ingin tegaskan, surat perletakan jawatan tanpa tarikh, jika mengikut undang-undang ianya tidak sah, jadi Mohamaddin kekal sebagai ADUN Segama,” katanya.

Sebelum ini, Mohamaddin mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Untuk rekod, Mohamaddin adalah ADUN ketiga Warisan yang keluar parti selepas ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir dan ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|