Juragan dan awak-awak cuba seludup petrol ditahan

Juragan dan awak-awak cuba seludup petrol ditahan

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan juragan dan awak-awak menyeludup keluar minyak petrol di kawasan laut Gubbin Rock, di sini, petang semalam.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 40 tahun yang menggunakan sebuah bot ditahan sepasukan pegawai dan anggota PPM Sandakan yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, ketika menjalankan tugas risikan di kawasan berkenaan mendapati sebuah bot dinaiki dua suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan ke atas bot itu didapati dua lelaki iaitu juragan dan awak-awam berada di dalam bot.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati terdapat barang kawalan tong berisi petrol tanpa sebarang permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Barangan itu dipercayai cuba diseludup keluar dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot yang digunakan bernilai RM10,291,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rusdin berkata, tangkapan dan rampasab dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat maritim dan pesisir pantai boleh menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp ke talian 0139391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|