Tali terputus dari kapal pengangkut tugbot

Tali terputus dari kapal pengangkut tugbot

Kota Kinabalu: Tongkang tersadai di tebing laut Tanjung Lipat, Likas, di sini, sebenarnya terputus dari ikatan dengan kapal pengangkut tugbot.

Menurut salah seorang pekerja tongkang yang enggan dikenali berkata, tali yang mengikat antara kapal pengangkut tugbot dengan tongkang berkenaan terputus awal pagi tadi.

Katanya, keadaan cuaca angin kencang menyebabkan tongkang berkenaan hanyut sehingga ke tebing laut.

“Kapal utama pengangkut tugbot ini berlabuh seketika di kawasan ini sementara menunggu barangan tiba.

“Tanpa disedari tali yang mengikat antara kapal dengan tongkang pula terputus akibat angin kencang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, mereka kini sedang berusaha untuk menarik balik tongkang ini keluar ke tengah laut semula.

Katanya, walaupun berdepan kesukaran namun mereka terpaksa menunggu keadaan air laut pasang.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi tadi, ramai pengunjung terkejut selepas mendapati tongkang berkenaan tersadai di tebing laut di kawasan berkenaan.

Keadaan itu membuatkan ramai pengunjung mengambil kesempatan untuk mengambil gambar sehingga tular di media sosial.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|